Rabu, 21 September 2011

Nasi Sila di Utusan Malaysia

ARKIB : 09/09/2011
Nasi Sila Lahar Kepar

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusankedah@utusan.com.my
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm


BUTTERWORTH 8 Sept. - Kari ikan dan ayam goreng yang sentiasa dihidangkan panas-panas sememangnya membangkitkan selera, terutamanya kepada mereka yang meminati masakan kampung.

Menariknya, kedai makan Nasi Sila Lahar Kepar milik Abdul Halim Lebai Hamid, 56, mengamalkan konsep makan bersila bagi menyerlahkan adat dan budaya orang Melayu.

Restoran itu yang terletak di Kampung Lahar Kepar di sini, menyediakan masakan kampung seperti kari ikan, ayam goreng, udang, sambal tumis sotong dan ulam-ulaman seperti pucuk janggus, bendi rebus, terung rebus, timun.

Abdul Halim berkata, resipi ayam goreng yang disediakan di kedainya itu dipelajari daripada ibunya sendiri iaitu menggoreng dua kali.

"Isi ayam mempunyai kandungan air yang tinggi sehingga menyebabkan ia tidak rangup apabila digoreng.

"Apa yang dilakukan oleh ibu saya ialah menggoreng ayam tersebut separuh masak dan akan menyejatnya bagi mengeluarkan air tersebut.

"Apabila air sudah benar-benar disejat, saya akan menggoreng semula sehingga kuning keemasan," katanya yang juga bekas kakitangan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) ketika ditemui di kedainya, baru-baru ini.

Katanya, bagi menu kari kepala ikan pula, dia akan memasak rempah sehingga tiga jam supaya ia benar-benar masak dan lebih tahan lama.

Menurut Abdul Halim, restorannya hanya dibuka malam iaitu sekitar pukul 8 hingga 12 tengah malam dengan waktu siang digunakan sepenuhnya untuk memproses bahan mentah untuk dijadikan hidangan.

"Ini kerana saya menggunakan 80 ekor ayam dan berpuluh-puluh kilogram ikan, udang serta sotong setiap hari.

"Ia memerlukan masa yang banyak untuk membersihkan semua bahan mentah ini," kata Abdul Halim yang juga bapa kepada tiga anak.

Katanya, dia sebelum ini mengusahakan kedai runcit dan hanya membuka kedai makan pada sebelah malam di tapak yang sama sebelum mengambil keputusan menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan makanan ekoran sambutan yang sangat menggalakkan.

Bercerita mengenai pengalaman dalam bidang itu, Abdul Halim berkata, dia mula memasak pada 1985 apabila seorang rakan memintanya menyediakan makanan untuk kantin sebuah kilang di Butterworth dekat sini.

Abdul Halim berkata, ketika mengambil upah memasak makanan untuk kantin tersebut, kebetulan ramai rakan-rakannya berkunjung ke kedai dan membeli kari yang dimasaknya bersama isteri, Fatimah Abdullah, 52.

"Apabila mereka beli kari daripada saya, mereka makan bersila di rumah saya. Daripada situ saya mendapat idea untuk membuka kedai makan dan akan mengekalkan konsep bersila," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan